Just another WordPress.com site

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PONTENG SEKOLAH

1. Kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah.

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana kurang atau tidak berminat terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, matematik, sains, geografi dan sebagainya.

Di samping itu, pelajar kurang berminat terhadap sekolah kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.

2. Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa
Pelajar ponteng sekolah adalah kerana mereka telah hilang pemerhatian, kasih sayang daripada ibu bapanya dan ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu bapa. Dengan membuktikan keadaan tersebut, ibu bapa kini sentiasa bekerja di luar dari awal pagi sampai tengah malam, masa mereka bersama dengan anak semakin berkurang sehingga anak-anak tidak dapat menyampaikan perasaan mereka kepada ibu bapa. Lama-lama kemudian, anak tersebut akan cuba menggunakan cara lain iaitu cara negatif seperti ponteng sekolah kerana mereka berjaya mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka. Malangnya anak-anak ini akan berkawan dengan orang luar semasa mereka memonteng sekolah dan kesannya “kawan baru” ini akan mengajak mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak lagi mementingkan pelajarannya.

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.

3. Pengaruh rakan sebaya
Pengaruh rakan sebaya juga turut memainkan peranan yang kuat dalam mempengaruhi pelajar lain untuk ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang munasabah seperti pelajaran di sekolah sangat membosankan dan sebagainya. Mereka menberi tanggapan bahawa aktiviti ponteng sekolah dapat menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk mereka tidak hadir ke sekolah.

4. Mencari Keseronokan

Pelajar ponteng sekolah berkemungkinan adalah kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di suatu tempat terutamanya pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan.

5. Peraturan sekolah yang terlalu ketat

Terdapat juga para pelajar ponteng sekolah kerana takut dimarahi ataupun didenda oleh guru contohnya semasa mereka tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru, mereka akan pilih cara ponteng sekolah supaya mereka tidak dapat didenda oleh cikgu.
Selain daripada itu,pelajar yang datang lewat juga akan mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

6. Tekanan Ekonomi
Taraf ekonomi keluarga pelajar yang rendah juga menyebabkan mereka malu untuk pergi ke sekolah. Mereka sering ponteng sekolah bagi mengelakkan dipersenda oleh rakan-rakan. Apabila ponteng sekolah, mereka mula melakukan sesuatu yang negatif bagi memenuhi masa lapang mereka. Oleh kerana kedudukan ekonomi yang rendah, maka ibu bapa sibuk untuk mencukupkan perbelanjaan harian dan menyebabkan tanggungjawab anak terabai. Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana terpaksa bekerja secara sambilan dan oleh kerana terlalu keletihan mereka tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.